BUKIT MERTAJAM – Satu sindiket pengedaran dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) tumpas selepas polis menahan enam lelaki bersama dadah bernilai RM6.3 juta dalam beberapa serbuan di sekitar George Town dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 33 hingga 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dalam operasi khas yang dijalankan bermula jam 2 petang semalam hingga 4.30 pagi tadi.
Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di kawasan tempat letak kereta di George Town yang membawa kepada penahanan suspek pertama serta penemuan dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,309 paket plastik pelbagai warna mengandungi serbuk MDMA seberat hampir 37.8 kilogram yang disimpan dalam dua beg kain, lima kotak kertas serta beg kertas dan plastik bungkusan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengeposan.
“Susulan penahanan itu, lima lagi lelaki tempatan ditahan di beberapa lokasi sekitar George Town.
“Dalam operasi sama polis turut menyita tujuh buah kereta pelbagai jenis bernilai RM297,000, barang kemas bernilai RM1,500 serta wang tunai berjumlah RM2,550,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hazmah berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.
“Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di pusat hiburan sekitar Pulau Pinang serta beberapa negeri lain. Selain itu, ujian saringan air kencing turut mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis benzo, manakala empat lagi positif ketamin.
“Kesemua suspek yang menganggur itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette















