KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) mencatatkan kutipan kompaun mencecah RM4.59 juta menerusi tindakan agresif operasi yang dilaksanakan.
Pengarahnya, Wan Mohammad Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya telah melaksanakan sebanyak 272 operasi sejak awal tahun hingga 20 Mei lalu.
“Kita telah melakukan pemeriksaan ke atas 3,587 individu warga asing dengan menahan 1,789 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seramai 68 majikan tempatan serta asing turut dikenakan tindakan kerana menggaji atau melindungan PATI.
“Untuk makluman, tiada hari tanpa operasi kerana penguatkuasaan adalah keutamaan kami dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada kebanjiran warga asing,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 1,551 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas untuk tempoh sama.
“Tangkapan tertinggi PATI yang direkodkan melibatkan warga Indonesia diikuti Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain negara,” jelasnya
Mengulas mengenai Program Repatriasi Migran 2.0 yang bermula 19 Mei lalu, beliau berkata, ia merekodkan penyertaan 96 PATI dalam tempoh dua hari.
“Ia melibatkan kutipan sejumlah RM37,920 hasil menerusi program itu kepada kerajaan melibatkan kompaun RM36,000 dan RM1,920 adalah bayaran pas khas,” katanya. – MalaysiaGazette
















