JASIN – Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kad akses milik Telekom Malaysia (TM) membabitkan kerugian kira-kira RM168,000 susulan penahanan seorang lelaki pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, suspek berusia 44 tahun ditahan selepas kereta dipandunya terbabas selepas dikejar peronda polis (MPV) di Kampung Kerubi Kemenung di sini.
Menurutnya, MPV polis mengejar kereta suspek disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu sejauh kira-kira lima kilometer bermula di Kampung Simpang Kerayong.

“Ketika kereta suspek terbabas berlaku pergelutan sebelum lelaki itu berjaya ditahan bersama 42 keping kad akses TM serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam melakukan jenayah curi itu.
“Siasatan mendapati suspek yang mempunyai 30 rekod lampau melibatkan 24 kes jenayah dan enam kes berkaitan dadah baru sahaja keluar penjara pada Januari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Rusli tidak menolak kemungkinan terdapat suspek lain dalam sindiket mencuri kad akses TM itu yang menyasarkan kabinet telekomunikasi di kawasan sunyi.
“Suspek kini direman empat hari sehingga 22 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 dan Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak 11 kes kecurian kad akses TM direkodkan di Melaka sejak awal tahun ini dan kita percaya kegiatan itu didalangi ahli sindiket yang masih diburu,” katanya. – MalaysiaGazette
















