JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dicabar membuat pengumuman Pakatan Harapan (PH) bertanding solo dalam dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16).
Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan berkata, ia kerana Amanah Johor dilihat terlalu bercita-cita besar selain mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian berkenaan kerjasama politik sedangkan desakan itu tidak sesuai pada waktunya.
“Sebagai pimpinan tertinggi parti sepatutnya mereka sangat faham kaedah perundingan dan waktu yang tepat untuk membuat perundingan.
“Jika sangat berhasrat dan bercita-cita besar, adalah dipersilakan pihak tuan membuat pengumuman terlebih dahulu bahawa pihak tuan ingin bersendirian di PRN-16 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan mendesak BN menyatakan pendirian sama ada PRN16 akan melibatkan pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru di negeri ini.
Mengulas lanjut, Lassim berkata, sekiranya Amanah Johor terus mendesak tanpa rasa segan, UMNO pula akan mula merayu kepada pucuk pimpinan agar bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Johor.
“Untuk rekod selama ini UMNO dan BN bertanding di semua DUN dan Parlimen di Johor kecuali di Pulai dan Simpang Jeram atas rasa ingin membantu PH.
“Adakah itu tidak dirasakan membantu dan menghormati hubungan? Berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” ujarnya.
Lassim berkata, sudah banyak kali pimpinan PH terutama Amanah Johor menggunakan media secara terbuka dalam mempersoal kerjasama antara BN dan PH di Johor.
Sedangkan, katanya, mereka sedia maklum kerajaan Johor secara jelas dipimpin oleh kerajaan ditadbir UMNO dan BN bukan Kerajaan Perpaduan.
“Kegopohan apakah ini? Sehinggakan tidak lagi rasional tentang tarikh pilihan raya yang masih jauh bertahun lagi. Sebaiknya teruslah belajar membuat bakti dan bukan hanya bertanya tentang baki kerusi wahai Amanah,” tegasnya.
Tambahnya, tindakan Amanah Johor seperti menghalang tumpuan dan merosakkan imej Menteri Besar Johor yang banyak berkhidmat untuk rakyat.
“Datuk Onn Hafiz (Ghazi) dan kerajaan negeri sedang bergerak pantas merealisasikan impian bagi menjadikan negeri dan rakyat bertambah sejahtera.
“Suara-suara seperti ini terus berkumandang seolah-olah ingin menghalang fokus dan cuba merosakkan imej serta mencalar kewibawaan Menteri Besar Johor itu.
“Sebagai rakyat kita melihat kesungguhan kerajaan negeri mengukuh ekonomi, mempertingkatkan kualiti fasiliti awam, memperjuangkan rumah yang lebih kondusif untuk rakyat, subsidi jualan Kasih Johor untuk mengimbangi kos sara hidup, menarik pelabur bagi membuka peluang pekerjaan dan banyak lagi usaha yang sedang giat berjalan,” katanya .- MalaysiaGazette