Ahli jawatankuasa Program Kunjung Kasih 3.0 dan penduduk Kampung Gentisan, Sepanggar.

KOTA KINABALU – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) turun padang bagi menyantuni penduduk Kampung Gentisan, Sepanggar menerusi Program Kunjung
Kasih 3.0.

Menurut pengarah program, Sumiraa Amir, pelaksanaan program itu merupakan satu program legasi anjuran Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA)
Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) melibatkan 40 warga UMS bersama-sama penduduk kampung.

“Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada mahasiswa tentang kehidupan masyarakat luar bandar, terutamanya penduduk kampung, melalui perspektif yang lebih dekat.

“Secara tidak langsung, usaha ini dapat memupuk nilai-nilai murni seperti empati, kasih sayang dan keprihatinan seterusnya menyumbang kepada pembentukan jati
diri mahasiswa yang holistik.

“Penganjuran program ini juga membuka ruang untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi interpersonal dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Sumiraa berkata, program tersebut telah berjaya mengagihkan sebanyak 25 buah Sumbangan Bakul Rahmah kepada golongan memerlukan.

“Kami yakin dan percaya dengan agihan yang kami lakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan di Kampung Gentisan, Sepanggar.

“Justeru itu, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada penduduk kampung atas kesudian menerima kehadiran serta bersama-sama menjayakan program ini,”
katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast