Dr. Mohd Nizar Sudin bersama . Rushdi Abdul Rahim memeterai kerjasama tahun ketiga untuk memperkasa aspek latihan teknikal bagi anak-anak dan anak veteran ATM di Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), sekali gus melancarkan kesinambungan Program Latihan Kemahiran Anak ATM & Anak Veteran (Laksamana) yang ditandatangani dalam MoU pertama pada 2023.

Program Laksamana ini merupakan inisiatif strategik dalam kerangka tanggungjawab sosial korporat (CSR) industri pertahanan bagi memperkasa kemahiran teknikal generasi muda ATM melalui pendekatan latihan berstruktur dan jaminan penempatan pekerjaan ‘train and place’.

MoU ini ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim.

Ia  disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT, Tan Sri Sri Azizan Ariffin; Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mohammad Ashraf Md Radzi.

Kerjasama berterusan antara Yayasan LTAT dan MIGHT sebagai agensi pemacu pemerkasaan teknologi tinggi negara ini diyakini dapat memperkasa tenaga kerja mahir dalam kalangan anak-anak warga dan veteran ATM dalam mendepani era digital dan kecerdasan buatan (AI).

Program ini dijangka membuka peluang kerjaya dalam industri berintensifkan teknologi seperti Minya dan gas, aeroangkasa, pembuatan, perkapalan dan tenaga, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara berteraskan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Sejak MoU pertama dimeterai program ini telah melahirkan pelbagai kisah kejayaan yang membanggakan.

Dengan pemeteraian MoU terkini, tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan program kemahiran berasaskan pendekatan upskilling and reskilling, selaras dengan keperluan semasa industri serta aspirasi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor pertahanan dan teknologi negara.

Yayasan LTAT bersama MIGHT komited untuk terus menerajui inisiatif pembangunan kemahiran golongan sasaran ATM melalui program berimpak tinggi seperti Laksamana dan inisiatif-inisiatif lain pada masa hadapan untuk pembangunan tenaga manusia berkualiti untuk negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast