KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melancarkan kempen “Balik Kampung dengan Kad Debit-i Bank Islam di R&R PLUS’’ bagi menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai sempena musim perayaan ini.
Kempen yang berlangsung dari 28 Mac hingga 30 Jun 2025 menawarkan pengguna Kad Debit-i Bank Islam (MyDebit) 10 peratus pulangan tunai apabila pengguna berbelanja minimum RM15 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS yang mengambil bahagian.
Setiap pemegang kad MyDebit layak menerima sehingga RM15 secara keseluruhan yang akan dikreditkan selepas tempoh kempen tamat dan tertakluk kepada terma dan syarat.
Sejajar dengan musim cuti persekolahan dan sambutan perayaan Aidiladha, kempen “Balik Kampung dengan Kad Debit-I Bank Islam di R&R PLUS’’ bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai secara lebih meluas di samping meningkatkan pengalaman perjalanan secara keseluruhan pengguna lebuh raya.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kerjasama itu menandakan satu lagi langkah bermakna dalam mempromosikan urus niaga tanpa tunai yang selamat dan lancar di kawasan bertrafik tinggi seperti R&R.
“Dengan menggalakkan pembayaran secara digital dalam kehidupan harian, kita bukan sahaja mempertingkat kemudahan pelanggan malah turut menyokong usaha berterusan negara ke arah ekonomi yang lebih inklusif secara digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor, turut menzahirkan sentimen sama dan berkata, kerjasama tersebut merupakan contoh terbaik bagaimana usaha strategik dapat memudahkan akses transaksi tanpa tunai untuk semua lapisan masyarakat.
“Dengan memanfaatkan capaian R&R sepanjang musim perayaan, kami membantu lebih ramai rakyat Malaysia merasai kemudahan dan keselamatan pembayaran digital dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai rangkaian pembayaran nasional Malaysia, kempen ini menyokong aspirasi PayNet untuk memperkasa pembayaran tanpa tunai di seluruh negara sekali gus menyumbang kepada kemakmuran bersama rakyat Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran menambah, kerjasama strategik tersebut membolehkan negara lebih bersedia melangkah ke arah ekosistem lebuh raya pintar yang mengutamakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selamat dan lestari.
“Selaras dengan matlamat ini, PLUS juga sedang giat mempromosikan pilihan pembayaran tanpa tunai di semua R&R dan hentian sebelah kami.
“Hasil daripada usaha ini, sebanyak 84.8 peratus gerai, yang melibatkan lebih 535 rakan niaga di R&R kami, kini menerima e-dompet utama serta pilihan pembayaran Kad Kredit dan Debit.’’
Katanya, bagi meneruskan momentum ini, PLUS merancang untuk melaksanakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya bermula suku ketiga dan keempat tahun ini di beberapa R&R terpilih iaitu Tapah (Arah Utara dan Selatan), Seremban (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh. -MalaysiaGazette