Datuk Seri Azalina Othman Said pada sesi Sesi Town Hall dan Majlis Peluncuran AI Legal Justice Roadmap 2025 - 2026 & Peta Reformasi Institusi (PetaRI) di Uiversiti Malaya (UM) hari ini.

KUALA LUMPUR – Dasar pengasingan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) dijangka dapat dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan berhubung perkara itu tidak boleh dibuat secara terus sebaliknya memerlukan kajian terperinci.

“Sekarang pun ada beberapa (kajian) sebelum kita angkat ke jawatankuasa teknikal selepas ini sebelum diputuskan di peringkat Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Sesi Town Hall dan Majlis Peluncuran AI Legal Justice Roadmap 2025 – 2026 & Peta Reformasi Institusi (PetaRI) di Uiversiti Malaya (UM) di sini.

Sementara itu, ditanya lebih lanjut berkenaan dasar tersebut semasa sidang akhbar, Azalina berkata, kajian berkenaan langkah pengasingan AG dan PP itu juga perlu melihat kepada aspek perundangan di negeri-negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Sebab di Sabah dan Sarawak, negeri-negeri ini juga ada kuasa pendakwaan mereka dalam aspek-aspek tertentu, jadi kita perlu lihat secara keseluruhan.

“Perkara ini sedang diteliti bersama jawatankuasa khas di Parlimen dan saya harap kerajaan dapat membuat keputusan mengenainya apabila ia sudah sedia sepenuhnya,” kata beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, draf kertas Kabinet mengenai pengasingan kuasa antara AG dan PP dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

Menurut Anwar, cadangan pembahagian fungsi antara AG dan PP telah diterima oleh Kabinet dan seorang Menteri telah ditugaskan bersama dengan pasukan petugas untuk menelitinya.

Perdana Menteri turut mengakui isu berkenaan cukup rumit, dan mengambil masa untuk disiapkan kerana ia memerlukan banyak pindaan, termasuk Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast