Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengeluarkan kata-kata tidak sopan termasuk ‘syaitan’ dan ‘bodoh’ terhadap Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, dua individu berdepan saman RM1.5 juta dan tuntutan permohonan maaf.

Beliau berkata, dua individu terbabit ialah koordinator Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, Muhammad Fadhil Muhamad Kasim dan ahli Pas, Tandiko Dalusin yang juga Cybertrooper pro Warisan.

“Surat tuntutan juga akan diserahkan secara bersemuka ke alamat kedua-dua individu melalui wakil peguam dan hebahan melalui portal berita.

⁠”Writ tuntutan saman telah disediakan oleh pasukan peguam saya yang diketuai Boestamam melalui Tetuan Boestamam Ahmad & Co,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tuntutan saman ke atas Fadhil dibuat selepas mahasiswa itu menerbitkan kenyataan fitnah dan mengaibkan Zulkarnain melalui laman sosial Facebook miliknya dengan perkataan “Zulkarnain Mahdar Orang Tua Bodoh Memilih Untuk Kekacauan”.

⁠Saman kedua juga turut diserahkan kepada Tandiko selepas menerbitkan kenyataan fitnah melalui siaran Facebook, TikTok dan saluran YouTube dengan perkataan ‘Zulkarnain syaitan, orang tua bodoh dan palui’.

Zulkarnain juga berkata, saman sebanyak RM1.5 juta adalah berpatutan dan ini dibuat sebagai bentuk pengajaran.

“Tindakan perundangan ini diambil agar tidak sewenang-wenang melakukan fitnah, tujuan membuli dan mengaibkan mana-mana individu walaupun berbeza pandangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast