Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Perasmian Hadiah Bahasa Public Bank dan Dewan Bahasa Pustaka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Implikasi terhadap cadangan untuk menaikkan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut belum dibawa kepada perbincangan Kabinet.

“Selalunya paper (cadangan) akan dibincangkan dan kemudian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri kemudian.

 “Biar mereka kaji implikasinya dari aspek kewangan, peluang pekerjaan baharu, banyak implikasinya,” katanya ketika ditemui di Majlis Hadiah Bahasa Public Bank – Dewan Bahasa dan Pustaka 2025.

Ditanya pandangan beliau terhadap cadangan itu, Anwar berkata: “Biar dikaji (dahulu), itu cadangan yang wajar diberikan perhatian dan pertimbangan biar agensi terlibat (kaji) soal peluang pekerjaan, kos dan sebagainya”.

Cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun wajar diberi perhatian dan dipertimbangkan.

Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan perlu mengkaji semula had umur persaraan wajib yang ditetapkan pada usia 60 kepada 65 tahun kerana ramai individu pada usia itu masih sihat dan berpengalaman.

Jelas beliau, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan usia 60 tahun kini dianggap masih muda oleh kebanyakan negara.

“Di Malaysia, hakim bersara pada umur 65 tahun dan boleh sambung enam bulan lagi jika diluluskan. Jadi, saya rasa kerajaan patut kaji semula perkara ini,” katanya.

Di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012, persaraan wajib bagi penjawat awam dan swasta ditetapkan pada usia 60 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast