Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir bagi kebenaran menyemak keputusan untuk memerintahkan membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah Rm2.8 juta di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 MEI 2025

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad terlepas segala peluang untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menolak permohonan pasangan itu untuk mendapat kebenaran menyemak keputusan panel terdahulu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebulat suara berpuas hati, alasan yang dikemukakan oleh peguam pemohon tidak melepasi `ambang’ (threshold) bagi membolehkan permohonan semakan dibenarkan.

Dengan keputusan itu, perbicaraan bela diri terhadap kedua-duanya `balik’ ke Mahkamah Sesyen dan dijadual didengar di hadapan Hakim Rosli Ahmad pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September ini.

Isteri kepada Datuk Seri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir bagi kebenaran menyemak keputusan untuk memerintahkan membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah Rm2.8 juta di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 MEI 2025

Hakim Che Mohd. Ruzima ketika menyampaikan keputusan itu berkata, kebenaran bagi permohonan semakan wajar diberikan dalam kes yang luar biasa dan wujud ketidakadilan yang ketara bahawa pemohon tidak mempunyai remedi alternatif.

“Kami berpuas hati, pemohon masih mempunyai remedi alternatif kerana perkara yang dibangkitkan oleh peguam di hadapan panel ini, boleh dihujahkan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen jika terdapat sabitan yang direkodkan,” ujar beliau.

Hakim Che Ruzima selanjutnya menyatakan, `ambang’ atau syarat bagi melepasi kebenaran permohonan semakan adalah tinggi dan panel itu harus berhati-hati menggunakan kuasanya ketika membenarkan permohonan tersebut.

Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 47, mengemukakan permohonan itu pada Mac lalu atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan mahu panel semakan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam M. Athimulan berhujah agar anak guamnya dibenar menyemak keputusan terdahulu kerana wujud ketikdakadilan yang serius di peringkat Mahkamah Sesyen.

Pada prosiding itu, Hakim Che Ruzima mempersoal kelewatan pihak peguam memfailkan permohonan semakan selama empat bulan tanpa alasan diberikan yana mana ia membayangkan seolah-olah permohonan tersebut bukan sesuatu yang mendesak.

Bagaimanapun, Athimulan berhujah, kelewatan itu berlaku kerana pihak pembelaan ketika itu menunggu alasan penghakiman penuh.

Hujah beliau, alasan ringkas yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak menyertakan butiran terperinci yang akan dimasukkan dalam permohonan semakan.

Kata Athimulan, sekitar Februari lalu pihaknya kemudian dimaklumkan oleh mahkamah bahawa tiada alasan penghakiman penuh dikeluarkan.

“Kami mengaku kelewatan di pihak kami. Permohonan semakan kemudian difailkan pada Mac lalu,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan pemohon-pemohon tidak mempunyai remedi untuk mendapat kebenaran mahkamah.

Hujah beliau, dapatan di peringkat prima facie bukan perkara yang tertakluk di bawah permohonan semakan.

Katanya, dapatan prima facie tidak boleh dirayu atau disemak kerana keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri bukan merupakan perintah yang melupuskan hak mana-mana pihak.

“Hujah peguam bahawa anak guam mereka tiada remedi alternatif, tidak wajar diterima oleh mahkamah ini kerana kedua-duanya masih oleh membela diri terhadap pertuduhan,” ujar beliau.

Pada 18 November 2024, panel terdahulu Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 manakala mereka diperintah membela oleh Mahkamah Sesyen pada September 2022.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast