SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita tiga buah lori jenis tipper yang dikesan beroperasi tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans sah sejak tujuh hingga sembilan tahun lalu.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, dua lori terbabit berjaya dipintas di Jalan BRP 7, Kuang–Rawang dua hari lalu.
Manakala sebuah lagi lori ditahan di Persiaran Cyber Valley 4, semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah daripada lori itu telah beroperasi tanpa cukai jalan dan insurans sejak 20 Oktober 2016, manakala dua lagi tidak mempunyai dokumen sah sejak 4 Julai 2018 dan 20 Ogos 2018.
“Kesalahan ini sangat serius dan menunjukkan betapa tidak bertanggungjawabnya pemilik syarikat yang hanya mementingkan keuntungan, tanpa mempedulikan aspek keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ Elmina, di sini, hari ini.
Menurutnya, dua daripada pemandu lori yang ditahan di kawasan Elmina disyaki merupakan warga asing yang diupah untuk memandu kenderaan terbabit.
“Semasa ditahan, pemandu terbabit melarikan diri dan tindakan mereka menyebabkan gangguan lalu lintas.
“Pasukan kami terpaksa menggunakan kepakaran untuk menghidupkan semula lori-lori berkenaan dan membawanya ke Stesen Penguatkuasaan JPJ Elmina,” jelasnya.
Berikutan insiden itu, JPJ turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 234 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kesalahan ini sangat serius dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000. Kita juga akan mencadangkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya lesen pengendali syarikat terbabit dibatalkan,” tambahnya.
Pihaknya memandang serius peningkatan kes pemilik lori berat yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans sah, serta tidak menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sama ada pemandu mahupun syarikat pengendali yang ingkar terhadap peraturan.
“Tindakan tegas termasuk sitaan dan lucut hak kenderaan akan dikenakan,” tegasnya.
Justeru, JPJ menyeru semua pemilik dan pengusaha kenderaan berat supaya segera memperbaharui cukai jalan, mendapatkan perlindungan insurans sah dan menjalani pemeriksaan berkala seperti yang diwajibkan kerajaan. – MalaysiaGazette

















Lori tiada cukai jln sejak 2016 baru ditahan 2025 ?..adakah penguatkuasa JPJ,PDRM, SPAD semua buat operasi ganti Kornea baru…