Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media berkaitan operasi yang dijalankan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menegaskan  Datin Seri Pamela Ling bukanlah suspek dalam siasatan berkaitan kes penggubahan wang haram yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, wanita itu hanya dipanggil untuk membantu siasatan dan bukan untuk tujuan penahanan.

“Dia bukan suspek kami. Dia adalah saksi. Kami tidak pernah memanggilnya dengan niat untuk menahannya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam turut memaklumkan kes berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa polis.

“Saya tegaskan, kes ini berada di luar skop SPRM. Kita serahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan wanita berkenaan.

“Kita telah beri kerjasama yang baik dan menyediakan segala maklumat yang diperlukan oleh pihak polis berhubung orang hilang itu,” katanya lagi.

Pamela Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Laporan orang hilang diterima pada pukul 3.02 petang hari yang sama.

Difahamkan, SPRM telah membuka siasatan terhadap Pamela dan suaminya, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu pada Mei tahun lalu atas dakwaan kes rasuah dan penggubahan wang haram. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast