Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan mengklasifikan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau yang juga peguam kepada keluarga Beng Hock berkata, keputusan itu merupakan kekecewaan yang besar buat keluarga mendiang selain bercanggah dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung siasatan kes tersebut.

Jelas beliau, tiada justifikasi mengapa siasatan kes itu hanya dihadkan kepada Seksyen 342 iaitu penahanan secara salah, sedangkan terdapat bukti wujud keraguan daripada kematian Beng Hock yang berlaku akibat terjatuh dari Ibu Pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam pada 2009.

“Adakah AGC kini menyatakan bahawa langsung tiada bukti mengenai perbuatan salah laku hasil siasatan yang dijalankan sejak 16 tahun lalu?

“Keseluruhan siasatan terhadap kematian Beng Hock nampaknya telah dikendalikan secara lemah kerana mengambil masa 16 tahun untuk diselesaikan, yang mana adalah sesuatu yang belum pernah berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 20 Mei lalu telah menulis surat keluarga Beng Hock mengenai hasil siasatan baharu polis berkenaan kematian pembantu seorang Exco Selangor berkenaan yang bermula pada Februari lalu.

“Polis telah mengklasifikasikan kes sebagai NFA,” demikian menurut surat itu seperti dilaporkan media.

Sementara, Ramkarpal berkata, hakikat Beng Hock berada dalam tahanan SPRM semasa kematiannya sudah pasti menjadi satu kebimbangan serius dan sekali lagi menimbulkan persoalan sama ada terdapat penglibatan pegawai SPRM dalam kematiannya.

Disebabkan itu, ujar beliau, AGC seharusnya memberikan penjelasan mengapa memutuskan untuk menutup kes itu kerana terlalu banyak persoalan yang belum terjawab.

Antaranya, kata beliau, mengapa siasatan tidak dijalankan di bawah kesalahan membunuh atau membunuh tanpa niat dan mengapa polis mengambil masa begitu lama untuk menyiasat kes tersebut.

Selain itu, katanya, adakah keputusan NFA itu dibuat bagi mengelakkan implikasi undang-undang akibat ketidakpatuhan kepada perintah Mahkamah Tinggi atau sama ada bukti yang dikemukakan dalam prosiding sebelum ini termasuk prosiding inkues tidak mencukupi.

Ujarnya, walaupun diakui Peguam Negara tidak wajib mendedahkan alasan keputusannya, namun beliau perlu berbuat demikian dalam kes Beng Hock kerana ia jelas melibatkan kepentingan awam.

“Kematian Beng Hock merupakan satu episod hitam dalam sejarah negara dan persoalan akan terus berlegar sekiranya Peguam Negara tidak tampil memberikan penjelasan mengapa beliau memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut dalam kes ini.

“Sehubungan itu, saya mendesak agar Peguam Negara segera mendedahkan alasan NFA tersebut demi ketelusan dan akauntabiliti kepada orang awam dan keluarga Beng Hock,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan bersetuju untuk polis membuka semula siasatan terhadap kes kematian Beng Hock.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast