KLUANG – Polis menembak mati seorang peragut warga Indonesia selepas menyerang dan mencederakan anggota polis yang cuba menahannya dalam kejadian di Kampung Palembang di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian tersebut bermula semasa anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah Kontinjen Johor membuat rondaan cegah jenayah di kampung itu pada pukul 3.45 pagi.
“Semasa membuat rondaan pihak polis mengesan pergerakan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Palembang.
“Pasukan polis telah mengekor rapat motosikal ditunggang suspek dengan laju sebelum berjaya memintasnya di kawasan tidak berturap menghala ke kawasan kebun kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ketika polis menghampiri untuk pemeriksaan secara tiba-tiba suspek melibas parang ke arah polis dan mengenai lengan salah seorang anggota polis.
Suspek katanya, kemudian masih bertindak agresif ketika diminta menyerah diri hingga memaksa polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan keselamatan awam.
Kumar berkata, pemeriksaan lanjut pihak polis merampas sebilah parang, wang tunai berjumlah RM1,900, dua unit telefon bimbit dan sebuah motosikal Honda Wave.
Siasatan awal polis ujarnya, mendapati satu telefon bimbit yang dirampas itu merupakan milik mangsa kes samun di Kluang sementara motosikal Honda Wave merupakan kes kehilangan motosikal di Kulai.
Menurutnya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditemui.
Susulan kejadian itu katanya, pihak polis mengesahkan telah berjaya menyelesaikan enam kes samun iaitu lima kes di daerah ini Kluang dan satu kes di Kota Tinggi.
“Siasatan mendapati suspek telah bergiat aktif dengan jenayah samun sejak 2024,” katanya.
Serbuan itu katanya, adalah satu daripada operasi yang bermula pada 19 Mei lalu bagi membanteras jenayah samun di seluruh Johor susulan beberapa insiden samun yang mengundang kebimbangan masyarakat.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu berhubung terus menerusi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7766822 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Ahmad Nazri Yahya@Yaakob 017-7521151 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette