KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mencabar pemuda MCA untuk membuktikan dakwaan penyelewengan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pelaksanaan projek MyKiosk dengan mengemukakan bukti dalam mesyuarat penuh PBT masing-masing yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Setiausahanya, Lim Chun Weng menegaskan, MCA seharusnya menyalurkan serangan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Menurutnya, dana projek MyKiosk disediakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun pelaksanaan termasuk proses sebut harga, pemilihan lokasi dan penyewaan kiosk adalah di bawah bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri.
“Jika benar berlaku penyelewengan dalam proses sebut harga seperti yang didakwa, MCA seharusnya menyatakan secara terbuka dalam mesyuarat penuh PBT masing-masing.
“Jika berani dan mempunyai bukti kukuh, cabarlah juga Exco Tempatan. Bukan sekadar menabur tuduhan secara terbuka tanpa asas,” katanya dalam sidang media khas DAPSY hari ini.
Chung Weng turut membidas tindakan MCA yang secara tersirat menuduh Menteri KPKT, Nga Kor Ming terlibat dalam salah guna kuasa berkaitan projek tersebut sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu bentuk pembunuhan karakter yang tidak beretika.
Menurutnya, kadar penyewaan MyKiosk 1.0 kini telah mencapai 85 peratus, manakala fasa kedua iaitu MyKiosk 2.0 pula melebihi 60 peratus meskipun baharu beberapa bulan dilaksanakan.
Justeru, beliau menolak dakwaan MCA bahawa projek tersebut merupakan satu ‘projek gajah putih’ dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Sementara itu, Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan, Ong Chun Wei pula menjelaskan MyKiosk adalah dasar kerajaan pusat, namun perlaksanaannya dilakukan oleh PBT, termasuk di negeri-negeri yang ditadbir oleh gabungan Barisan Nasional seperti Johor, Melaka dan Pahang.
“Kalau benar dakwaan mereka berasas, mengapa tidak persoalkan kerajaan negeri yang mereka sendiri dominasi? Semua proses tender dilakukan secara terbuka dan telus. Tiada apa yang disembunyikan oleh pihak KPKT atau kerajaan perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Jason Ng Thien Yeong berkata, MCA seharusnya lebih memahami proses dasar awam sebelum melemparkan tuduhan melulu.

Menurutnya, dasar MyKiosk telah melalui proses libat urus bersama PBT seawal Ogos 2022 ketika MCA masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
“Jika benar mereka tidak bersetuju dengan dasar ini, mengapa tidak bersuara ketika itu? Mengapa baru sekarang mereka tampil mempertikaikan projek yang telah dibincangkan dua tahun lalu, ketika mereka sendirik ada menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet?” soalnya.
Beliau menyifatkan tindakan MCA sebagai bermotif politik dan sengaja dilakukan untuk mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan. Jelasnya, tindakan sedemikan hanya menunjukkan niat sebenar MCA untuk menggagalkan kejayaan pentadbiran sedia ada demi kelangsungan politik mereka. – MalaysiaGazette