Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diteliti semula kerana berpotensi menghakis hak pemilik hartanah khususnya penduduk asal bandar lama.

Selain itu, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dalam kenyataan berkata, RUU itu juga dilihat berat sebelah serta memberi banyak kelebihan kepada pemaju.

Presidennya, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir bimbang, pembentangan RUU yang disifatkan beliau sebagai tergesa-gesa tanpa libat urus awam dan penjelasan mencukupi bakal implikasi besar kepada rakyat.

“Kami menyanggah kritikan wakil kerajaan MADANI yang melabel pengkritik sebagai anti-pemodenan atau bermain sentimen perkauman.

“PEJUANG tidak menolak pembangunan, namun ia mestilah mengikut lunas undang-undang serta tidak menafikan hak rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Menurut Mukhriz, draf RUU bertarikh 26 November 2024 menunjukkan URA akan berkuat kuasa di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak, dan akan melibatkan kawasan yang mempunyai lebih 10,000 penduduk atau kawasan pentadbiran daerah walaupun populasinya kurang dari itu.

“Ini bermakna semua kawasan perumahan yang lama akan tertakluk di bawah URA. Ia juga seolah satu mekanisme yang akan menguntungkan pemaju semata-mata, tanpa perlu memberi pertimbangan kepada kepentingan penduduk asal.

“Ambang persetujuan bagi mana-mana aktiviti di bawah URA kini tidak lagi 100 peratus  daripada pemilik atau penduduk. Maksudnya, pemaju yang dipilih tidak perlu mendapatkan persetujuan dari 100 peratus penduduk sedia ada untuk membuat apa saja keputusan sebelum melaksanakan pembaharuan. 

“Bagi bangunan tiga puluh tahun, ambangnya adalah 80%; bagi lebih dari 30 tahun, ambangnya adalah 75 peratus manakala bagi bangunan terbengkalai, ianya 51 peratus.

“Bagaimana pula kalau ada pihak yang tidak setuju dan mahu pertahankan hak mereka? Tiada mekanisme perundangan yang disediakan di bawah URA untuk pihak-pihak tersebut.

“Dilindungi URA, pemaju boleh memaksa pemilik hartanah itu untuk menurut keputusan majoriti. Ini bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak pemilik hartanah yang sah,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan mekanisme pelantikan dua individu berpengalaman dalam Jawatankuasa Eksekutif URA kerana boleh membuka ruang campur tangan tidak wajar oleh pihak berkepentingan termasuk pemaju.

Katanya lagi, skop URA juga terlalu luas termasuk perubahan kategori tanah, pecah sempadan dan pencantuman hartanah yang dilihat berisiko menceroboh hak milik tanpa perundingan telus.

Sehubungan itu, PEJUANG menggesa kerajaan MADANI untuk memasukkan instrumen seperti Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dalam RUU bagi memastikan penduduk asal turut memperoleh keuntungan daripada pembangunan semula, selain meneroka model pelbagai guna seperti dicadangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kami tidak mahu rakyat biasa terutama golongan Melayu marhaen dihalau dari kawasan kediaman mereka akibat gentrifikasi. Perlu ada mekanisme jelas yang memastikan kawasan-kawasan kota dan bandar-bandar didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat agar identiti Malaysia itu tidak dilarut arus pemodenan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PEJUANG turut mencabar kerajaan untuk mengadakan referendum rakyat sebelum membentangkan RUU URA di Parlimen.

“RUU ini tidak boleh diluluskan secara tergesa-gesa. Ia bukan soal kaum semata-mata, tetapi masa depan bandar dan nasib semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast