PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Jovian Mandagie yang kini berada di Indonesia untuk membantu siasatan berkaitan kes yang sedang disiasat membabitkan bekas perdana menteri kelapan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya perlu merakam percakapan Jovian bagi mengesahkan mengenai suatu aset yang diisytiharkan oleh Ismail Sabri semasa siasatan dijalankan sebelum ini.
Menurutnya, beliau telah mengeluarkan arahan kepada pengarah dan juga pegawai penyiasat berhubung perkara tersebut dan akan cuba mendapatkan Jovian dalam seminggu, dua ini.
“So far yang saya dimaklumkan…kita kena pergi jumpa dia. Kita tak boleh memaksa dia datang ke sini sekarang kerana dia adalah warga negara Indonesia dan dia berada di sana. Jadi, kita kena dapatkan kerjasama dengan dia,” katanya pada sidang media khas, di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, kes berkenaan perlu disegerakan siasatannya dan dijangka selesai akhir Jun ini.
“Pegawai kita akan tumpukan segala keterangan dalam tempoh dua minggu ini. Sekiranya terdapat… elemen-elemen yang cukup untuk dia dituduh, kita akan cadangkan,” tambahnya.
Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac lalu, Azam memaklumkan Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas dalam sebuah ‘safe house’ hasil serbuan badan antirasuah itu. – MalaysiaGazette
















