KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia melancarkan Malaysia Photo Hunt 2025, sebuah pertandingan foto dan video bertemakan pelancongan sebagai inisiatif mempergiat promosi destinasi Malaysia menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, Malaysia Photo Hunt 2025 merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi dalam mempergiatkan usaha promosi pelancongan negara secara kreatif.
Ia adalah salah satu program promosi untuk menggalakkan para pelawat domestik dan antarabangsa mempromosi keindahan Malaysia melalui foto dan video di saluran media social mereka dengan slogan ‘Malaysia Welcomes the World’.
Pertandingan ini akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2025 dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, pemastautin asing, serta pelawat antarabangsa.
Para peserta perlu merakam keindahan destinasi pelancongan di Malaysia dengan menggunakan kamera dan telefon pintar.
Pertandingan ini terbuka kepada semua jenama kamera dan telefon pintar.
Untuk menyertai pertandingan ini, setiap peserta perlu menghantar foto atau video bersama salinan resit sebagai bukti melakukan aktiviti melancong seperti penginapan di premis berdaftar dan berlesen, pembelian tiket ke tarikan pelancongan atau tempahan tiket pengangkutan domestik yang bertarikh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2025.
Semua pengguna kamera dan telefon pintar bagi jenama Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei boleh menghantar penyertaan foto dan video mereka mengikut jenama yang mereka gunakan.
Pengguna selain daripada jenama-jenama ini pula boleh menghantar penyertaan foto dan video mereka untuk kategori Tourism Malaysia.
Setiap kategori yang disertai menawarkan hadiah tempat pertama hingga ketiga serta 20 hadiah saguhati.
Di samping itu, pertandingan ini menawarkan empat hadiah utama bernilai RM100,000 dan daripada jumlah ini, hadiah bernilai RM 15,000 ditawarkan untuk pengguna telefon bagi kategori foto dan RM 25,000 bagi kategori video.
Manakala hadiah bernilai RM 25,000 ditawarkan untuk pengguna kamera bagi kategori foto dan RM 35,000 bagi kategori video.
Lebih membanggakan, jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini mencecah RM400,000, sekali gus menjadikannya antara pertandingan foto dan video terbesar di negara ini.
Maklumat lanjut serta borang penyertaan boleh didapati di laman rasmi Tourism Malaysia melalui pautan www.mphunt.tourism.gov.my.
Penyertaan hendaklah dihantar secara dalam talian bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2025.
Sebagai galakan awal, 2,000 penyertaan terawal akan menerima hadiah misteri eksklusif daripada Tourism Malaysia.
Keputusan rasmi pertandingan dijangka diumumkan pada Oktober 2025, dan akan disusuli dengan satu pameran khas untuk mempamerkan hasil karya foto dan video terpilih sebagai sebahagian daripada kempen promosi menuju VM2026. – MalaysiaGazette