KUALA LUMPUR – Seramai 58 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dipecat oleh Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Amanah Nasional setakat semalam atas kesalahan menyertai pemilihan parti politik lain.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebanyak 51 surat tunjuk sebab pula dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat.
Tegas beliau, kegagalan ahli-ahli berkenaan untuk menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.
Ujarnya, Amanah mengambil serius laporan dan aduan berhubung tindakan segelintir ahli parti itu yang telah mendaftar sebagai ahli parti politik lain serta terlibat dalam pemilihan parti politik berkenaan.
Tambahnya, Perlembagaan Amanah memperuntukkan tindakan tersebut boleh membawa implikasi tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian.
“Untuk memastikan pelanggaran disiplin ini dapat ditangani secara teratur, harmoni dan berkesan, sebanyak dua bentuk tindakan telah dilaksanakan iaitu pemecatan keahlian serta-merta atau siasatan lanjut yang bergantung kepada keseriusan pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhammad Faiz berharap tindakan yang dikenakan tersebut boleh menjadi peringatan yang tegas kepada ahli-ahli Amanah lain.
Tegasnya, semua ahli Amanah perlu mematuhi disiplin berorganisasi dengan berpandukan kepada Perlembagaan dan Tatacara Amanah. – MalaysiaGazette
















