JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis bahawa Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli akan menghadiri sesi ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung malam ini.
Ketika menjawab pertanyaan media, Anwar berkata beliau tidak menerima sebarang pengesahan rasmi daripada Rafizi mengenai kehadirannya namun sebagai Timbalan Presiden, Ahli Parlimen Pandan itu lazimnya hadir dalam acara-acara penting parti.
“Saya rasa beliau akan datang. Memang beliau tidak maklumkan secara langsung kepada saya, tetapi sebagai Timbalan Presiden, beliau biasanya hadir,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Berjaya Waterfront, hari ini.
Anwar berkata demikian selepas selesai menjalani proses pengundian fizikal bagi Pemilihan PKR 2025 yang sedang berlangsung di lokasi sama.
Mengulas lanjut, Anwar menambah bahawa Rafizi baru-baru ini turut hadir dalam mesyuarat Kabinet dan menjalankan tugas seperti biasa, menandakan tiada halangan untuk beliau turut serta dalam acara malam ini.
“Ketika mesyuarat Kabinet, dia jalankan kerja dia dengan baik. Sudah terbiasa bentang kertas kerja,” tambah beliau.
Ditanya sama ada beliau memilih Rafizi atau Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini, Anwar berkata beliau tidak membawa sebarang ‘cai’ (senarai calon pilihan), sebaliknya meneliti setiap calon secara individu.
“Saya tidak bawa cai, sebab itu ambil masa panjang. Kena teliti satu persatu. Itu yang sebaiknya. Kalau ada cai sana sini, saya tidak begitu. Saya harap dalam keputusan, kedua-dua mereka diambil kira dan pilih yang terbaik,” katanya.
Ucapan Dasar Presiden dijadualkan berlangsung pada jam 9.30 malam ini di Persada Johor.
Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada Rafizi selepas beliau membuat kritikan terbuka terhadap proses pemilihan parti yang didakwanya tidak telus dan berat sebelah.
Beliau turut mempersoalkan peranan panel pemilihan dan mendakwa wujud campur tangan pihak tertentu, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan akar umbi dan pimpinan parti.
Kritikan tersebut mencetuskan kegusaran dalam kalangan ahli, yang bimbang akan berlakunya perpecahan dalaman jika isu berkenaan tidak ditangani dengan cermat dan berhemah. – MalaysiaGazette
















