KUALA LUMPUR – Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya harta peninggalan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dilucut hak dikemukakan tanpa asas perundangan yang kukuh.
Ini kerana sebarang tindakan lucut hak memerlukan sabitan atas kesalahan serius seperti yang termaktub di bawah Jadual Kedua Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga bekas Menteri Kewangan itu berpendirian, Allahyarham tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah serius yang membolehkan harta beliau dilucut hak.
“Mencadangkan aset Tun Daim dirampas adalah tidak masuk akal dan tidak boleh dipertahankan kerana beliau telah meninggal dunia manakala tiada pertuduhan sedang menunggunya.
“Oleh itu, cadangan SPRM agar kerajaan melucut hak harta peninggalan Tun Daim adalah tidak berasas dan bermotifkan politik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam yang meminta kerajaan merampas aset milik Allahyarham Tun Daim yang didakwa `tidak diisytiharkan’.
Rajesh dalam kenyataan itu juga mempertikai tindakan SPRM yang mengumumkan perkara itu kepada media terlebih dahulu tanpa memfailkan permohonan rasmi di mahkamah.
Ujar peguam itu, dalam erti kata lain, harta rakyat tidak boleh dirampas begitu sahaja kerana SPRM atau kerajaan berpandukan kepada syak wasangka terhadap sumber atau asal usul aset tersebut.
“Atas dasar apa asetnya yang kini ditadbir oleh pemegang harta pusaka, boleh disita? Adakah SPRM mendapatkan nasihat undang-undang sebelum berkata demikian?
“Sekiranya benar terdapat asas undang-undang, mengapa tidak difailkan terus ke mahkamah? Mengapa perlu dijadikan isu umum terlebih dahulu tanpa sebarang tindakan sah di sisi undang-undang?
“Kami beranggapan langkah ini lebih menjurus kepada usaha mencemar nama baik Allahyarham Tun Daim dan keluarganya,” kata beliau lagi.
Beliau turut menyeru agar SPRM dan kerajaan menghentikan sebarang kenyataan berunsur politik yang boleh menggugat maruah individu serta waris yang hidup.
Katanya, kempen fitnah, gangguan dan ugutan yang tidak berkesudahan yang ditujukan kepada balu dan keluarga Allahyarham adalah memalukan dan mesti dihentikan.
“Tun Daim tidak lagi mampu mempertahankan dirinya atau keluarga,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















