Oplus_16777216

MELAKA – Dua individu termasuk seorang wanita maut selepas kereta dinaiki merempuh dan terperosok di bawah sebuah lori yang sedang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ), dekat Tiang Dua di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali Abdulla Shaied, 47, warga Bangladesh dan penumpangnya, Nguyen Thanh Loan, 46, wanita warga Vietnam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kaki, badan serta muka.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah Jasin membuat pusingan U sebelum dirempuh kereta mangsa yang datang dari arah Melaka.

“Rempuhan kuat menyebabkan bahagian depan kereta terperosok bawah lori mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berhampiran akan diperoleh bagi membantu siasatan lanjut dan kenderaan yang terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Menurutnya, siasatan turut mendapati kesan brek sejauh 45 meter di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast