JPJ Pulau Pinang sita bas dan van kilang yang didapati melanggar pelbagai peraturan ditetapkan.

BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 13 bas dan van pekerja disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang selepas dikesan melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang sepanjang operasi selama dua hari di sekitar Seberang Perai di sini, semalam.

Menurut kenyataan JPJ negeri, antara kesalahan yang dikesan melibatkan pengendalian kenderaan tanpa cukai jalan dan insurans, selain pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Tindakan sambil lewa segelintir pengusaha dan pemandu bas pekerja ini boleh mendatangkan risiko besar kepada penumpang, lebih-lebih lagi jika berlaku kemalangan tanpa perlindungan insurans,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, beberapa kenderaan didapati gagal mematuhi syarat teknikal, antaranya tidak memiliki perakuan pemeriksaan sah daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), menggunakan lesen kenderaan motor (LKM) yang tidak sesuai serta pemandu tanpa lesen perkhidmatan awam (PSV).

“Selain itu, antara isu keselamatan yang turut dikenal pasti ialah tayar haus melampau, lampu brek dan isyarat yang tidak berfungsi serta penyelenggaraan kenderaan yang tidak memuaskan.

“JPJ menasihatkan semua pengusaha dan pemandu kenderaan perkhidmatan awam agar mematuhi setiap peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast