Poster Karnival Belia Madani yang akan bermula pada 29 Mei hingga 1 Jun ini di kawasan tempat letak kereta berhadapan Hospital Ampang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta beberapa agensi kerajaan akan menganjurkan Karnival Belia Madani 2.0 X Foodie Food Fest bermula 29 Mei hingga 1 Jun ini di kawasan tempat letak kereta berhadapan Hospital Ampang, Selangor.

Memasuki edisi kedua, karnival berkenaan diteruskan dengan objektif memperkasakan golongan belia melalui pelbagai aktiviti menarik yang merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan seni budaya.

Pengarah program, Madiah Masud berkata, penganjuran karnival bukan sahaja membuka peluang kepada anak muda untuk menyertai forum, bengkel, pertandingan dan persembahan seni, malah turut memupuk semangat perpaduan serta menggalakkan jaringan sosial.

“Program ini berfungsi sebagai platform memperkukuh semangat perpaduan dan memberi peluang kepada anak muda untuk berkongsi idea serta membina jaringan sosial. Ia juga menyasarkan pembentukan belia yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan berorientasikan kemajuan dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan.

Antara aktiviti utama yang disediakan ialah 70 reruai jualan makanan, pertandingan e-sport Mobile Legends, e-football, pertandingan karaoke suara emas, gusti lengan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta persembahan artis popular seperti Apak Harry Khalifah, kumpulan Cherpen, Lan Solo dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, zon cabaran robotik dan permainan interaktif kesihatan turut menjadi tarikan baharu dalam karnival kali ini.

Tambah Madiah, karnival juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dengan menyediakan peluang kepada belia untuk terlibat dalam program berasaskan inovasi, kemajuan dan kelestarian, khususnya melalui penyertaan dalam bengkel serta pertandingan yang meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial, ekonomi dan alam sekitar.

“Ini membantu melahirkan generasi belia yang lebih peka terhadap cabaran global dan bersedia menyumbang kepada masyarakat secara positif,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Jelajah Agenda Nasional Malaysia yang turut diselitkan sepanjang karnival akan menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma seperti saringan kesihatan, pemeriksaan pergigian, saringan PEKA B40 serta pemeriksaan kanser wanita.

Karnival juga akan dimeriahkan dengan jualan ehsan Rahmah dan program jualan terus dari ladang anjuran FAMA sekaligus menyokong agenda ekonomi rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast