Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 23 MEI 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan dicadang menggubal  Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasakan ekosistem pendidikan baharu negara.

Cadangan itu dikemukakan ketika Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu disuarakan sebagai langkah bagi memastikan koordinasi lebih mantap antara 12 kementerian yang terlibat secara langsung dalam penyampaian pendidikan tersebut. 

“Agar pendidikan TVET jadi ekosistem pendidikan baharu dengan mengkoordinasikan seluruh 12 kementerian yang terlibat di dalam pendidikan ini,” katanya ketika sidang media.

Selain itu, katanya, kerajaan juga dicadangkan supaya menaik taraf Majlis TVET Negara menjadi Suruhanjaya TVET untuk memperkasa dan memperkukuhkan fungsi sedia ada khusus berkaitan pendidikan berkenaan.

“Suruhanjaya ini bukan satu entiti baharu yang memerlukan tambahan penjawat awam atau peruntukan besar. Ia bertindak menyelaras dan mengoptimumkan fungsi sedia ada secara lebih berfokus,” tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, permukiman hari ini juga berharap supaya Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) akan dapat dipinda selaras rancangan kerajaan.

“Sesi libat urus telah dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mahu perjuangan aktivis aktivis Orang Asli. Bukan hanya untuk kita penuhi tetapi memahami cita rasa generasi baharu di kalangan Orang Asli terutamanya mereka yang telah belajar dan lulus dalam bidang pendidikan tinggi… Ini mesti dikembalikan dan ditambah baik,” katanya lagi.

Beliau sebelum ini berkata, pindaan akta tersebut akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast