Guru, Muhammad Juraish Atan, 33 memberikan penerangan kepada pelajar sekolahnya ketika hadir pada hari pertama pembukaan selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-42 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 23 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Anjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 dapat memupuk semangat pelajar mencintai buku berbanding menjadi seorang pempengaruh media sosial.

Guru Sekolah Rendah Al-Azhar, Jitra, Kedah, Muhammad Juraish Atan berkata, lawatan membawa seramai 35 pelajarnya ke pesta itu bertujuan memberi pendedahan secara meluas mengenai industri perbukuan di Malaysia.

“Kebanyakkan daripada mereka lebih cenderung dan bercita-cita untuk menjadi nfluencer, Youtuber, ‘gamer dan sebagainya untuk menjadi terkenal tanpa mereka ketahui sebenarnya menjadi penulis buku juga mampu jadikan mereka popular,” katanya pada pemberita di PBAKL 2025 di WTCKL di sini hari ini. 

Guru, Muhammad Juraish Atan, 33, bercakap kepada wartawan ketika hadir pada hari pertama pembukaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-42 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 23 MEI 2025.

Tambah Muhammad Juraish, lawatan itu merupakan anjuran tahunan sekolahnya khusus murid darjah empat hingga enam bertujuan memberikan pendedahan dan  menarik minat murid meneroka keindahan ‘alam buku’ sebenar.

“Objektif utama kami adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada murid tentang dunia penulisan dan kepentingan membaca.

“Mereka bukan sahaja dapat membeli buku tetapi berpeluang berjumpa dengan penulis buku terkenal seperti Iddin Ramli dan Mantan Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mengulas mengenai kesesuaian buku fizikal, Muhammad Juraish berpendapat, ia masih relevan meskipun pada era digital yang mana pelbagai bahan bacaan boleh diakses melalui atas talian secara mudah.

“Saya yakin bahawa buku fizikal masih relevan kerana terdapat perbezaan nilai. Jika membaca secara fizikal, kita dapat menyelami isi buku itu dan memahami apa yang disampaikan penulis itu.

“Apabila kita memegang buku, kita akan selak satu demi satu halaman itu dan akan datang suatu perasaan sebagai pembaca sejati. Sama dengan baca al-Quran, kalau hanya membaca melalui skrin, ia tidak akan dekat di hati,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast