Seorang lelaki, Ahmad Nasir Kadiri, selepas mengaku bersalah atas kesalahan menghantar komen bersifat lucah dan jelek terhadap anak kepada seorang doktor, Dr Nur Amalina Che Bakri, di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 MEI 2025

SEPANG – Seorang pemungut kelapa sawit dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuat komunikasi jelik yang menyentuh bayi perempuan pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr. Amalina Che Bakri, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nasir Kadiri, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad menasihati OKS supaya lebih berwaspada ketika membuat sebarang komen di media sosial, kerana setiap perbuatan yang dilakukan pasti membawa akibat.

“Apabila telefon berada di tangan, kita boleh buat pelbagai komen, kita boleh tohmah atau fitnah sesiapa sahaja. Contohnya seperti kesalahan kamu hari ini, semuanya dipantau oleh SKMM,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook “Bro Nasir” di pautan https://www.facebook.com/nasir.kadiri.1 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu telah dilihat di Tingkat 8, Menara MCMC, Cyberjaya, dekat sini pada 11.52 pagi, 3 Januari 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Menurut fakta kes, komen yang lucah sifatnya itu dibaca oleh Dr. Amalina pukul 10.29 malam, 15 Disember 2022 yang kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 23 Disember 2022.

Pada 16 Februari 2023, satu pemeriksaan oleh SKMM dibuat di rumahnya di Bukit Changgang, Banting dan merampas satu telefon bimbit dan kad sim yang didaftarkan atas namanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran agar OKS tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“OKS seharusnya diberi pengajaran dan peringatan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial sebagai satu platform untuk menyatakan perkara lucah.

“Jika dilihat daripada fakta kes yang dikemukakan, komen itu dibuat terhadap seorang bayi yang tidak boleh berkata-kata tetapi ibu bayi itu (Dr. Amalina) telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Fadhli juga memohon mahkamah mempertimbang trend hukuman semasa di bawah Seksyen 233 yang menjatuhkan hukuman denda dalam lingkungan RM7,000 hingga RM9,000 bagi kesalahan berkaitan komen lucah.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan tidak berkemampuan dan masih menanggung seorang anak yang masih belajar.

“Saya mengaku bersalah dan saya merayu hukuman saya diringankan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Ini adalah kesalahan pertama saya, saya menyesal, bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” kata lelaki itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast