MELAKA – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menjual 343 video cakera padat (VCD) cetak rompak termasuk filem lucah, 15 tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fauzi Abdullah, 42, membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjual sebanyak 37 keping video cakera padat (VCD) lucah pelbagai tajuk di sebuah rumah bernombor Taman Desa Taming Sari Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.10 petang 2 September 2010.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda minimum RM10,000 sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 5(2) akta sama.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(5) akta yang sama kerana menjual 306 set VCD pelbagai tajuk tanpa perakuan kelulusan Lembaga Penapisan Filem di lokasi dan pada masa serta tarikh sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 sehingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi yang mewakili tertuduh merayu jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan tertuduh tidak bekerja selain menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.
Hujahnya, tertuduh hanya menyedari mempunyai satu kes tertunggak ketika mahu memperbaharui visa bagi tujuan permohonan kerja dan telah memberi kerjasama baik untuk menyelesaikannya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette















