JOHOR BAHRU – Datuk Seri Rafizi Ramli tiba sedikit lewat ke perasmian Kongres Nasional PKR yang berlangsung malam ini di Persada Johor.
Ketibaan Timbalan Presiden PKR itu sekitar 8.30 malam selepas nyanyian lagu negeri Johor, Negaraku dan lagu parti yang dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para ahli parti termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sejurus ketibaan Rafizi, Dewan Persada Johor bergema dengan sorakan penuh semangat.
Laungan “Reformasi, reformasi!” kedengaran jelas mengiringi langkah Rafizi yang tampil segak mengenakan baju Melayu berwarna biru muda.
Rafizi yang disambut dengan sorakan gemuruh diserbu oleh pengamal media sebelum mengambil tempat di sebelah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum itu, Anwar tiba di dewan tepat pukul 8.20 malam, ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Malam ini, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam perasmian Kongres Nasional PKR yang penuh bersejarah ini.
Selain itu, keputusan rasmi Pemilihan Pusat PKR dijangka akan diumumkan pada malam yang sama. – MalaysiaGazette
















