ALAM universiti menjanjikan pengalaman pendidikan yang jauh berbeza dari alam persekolahan dan ‘kehidupan kampus’ yang menarik sentiasa menjadi bahan cerita yang dikongsikan kepada para pelajar sekolah.
Penulis secara tak langsung menyimpan impian melanjutkan pengajian ke universiti apabila semasa kanak-kanak dahulu apabila menonton filem Ali Setan di televisyen yang menjadikan suasana kampus Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai latar tempat utama.
Filem Ali Setan tidak dapat dinafikan memberi gambaran bagaimana kehidupan di kampus berjalan seperti suasana semasa pendaftaran pelajar baharu, dewan kuliah selesa serta jauh bezanya dengan saiz kelas di sekolah, dewan konvokesyen yang gah, siswa-siswi ke kuliah tanpa perlu berpakaian uniform seragam serta pelbagai kemudahan yang terdapat di kampus yang luas kawasannya.
Sememangnya selain dari pelbagai program akademik, pendekatan menonjolkan gaya hidup di kampus dan pelbagai kemudahan yang terdapat di kampus masih digunakan sehingga kini sebagai salah satu bentuk promosi untuk menarik pelajar melanjutkan pengajian di institusi masing-masing. Ini juga soalan yang selalu diajukan oleh pelajar dan ibu-bapa apabila mengunjungi reruai institusi pendidikan tinggi semasa pameran pendidikan.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menjadi petugas promosi universiti dalam program Jom Masuk Universiti (JMU) 2025 Zon Tengah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang berlangsung selama dua hari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setiap tahun, program anjuran KPT ini merupakan antara inisiatif utama Kementerian dalam memperluas akses Pendidikan tinggi kepada pelajar seluruh negara, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf.
Memilih kursus akademik dan institusi pendidikan melanjutkan pengajian ibarat merintis laluan jalan yang bakal ditempuh untuk masa depan oleh pelajar berkenaan. Justeru itu, beberapa perkara boleh dijadikan asas pertimbangan oleh ibu-bapa dan pelajar itu dalam membuat pilihan ‘laluan’ yang akan dipilih.
Faktor pertama yang perlu dipertimbangkan ialah peluang kerjaya yang ditawarkan dari kursus yang diambil. Sememangnya itu tujuan yang tak dapat dinafikan apabila melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi agar mempunyai jaminan kerjaya yang dan pendapatan yang lebih baik. Apabila dua elemen ini diperolehi selepas tamat pengajian, ia memberi Kesan yang besar dalam memperbaiki taraf hidup inidividu dah ahli keluarga, jika datangnya dari keluarga yang miskin, di sinilah titik mula untuk keluar dari belenggu kemiskinan yang berpanjangan.
Dalam pasaran kerja, terdapat dua kategori pekerjaan yang perlu diberi perhatian oleh pelajar: pekerjaan yang tinggi permintaan dan pekerjaan yang sedang berkembang. Pekerjaan yang tinggi permintaan merangkumi bidang yang sentiasa diperlukan seperti profesional kesihatan (doktor, jururawat, ahli farmasi), jurutera, akauntan, guru dan pakar teknologi maklumat. Sementara itu, pekerjaan yang sedang berkembang pula berkaitan dengan kemajuan teknologi dan keperluan industri masa depan seperti pakar kecerdasan buatan (AI), saintis data, pakar tenaga boleh diperbaharui, penganalisis keselamatan siber dan pengendali Dron bertauliah.
Faktor kedua adalah minat atau kecenderungan pelajar itu. Secara alaminya, apabila kita minat melakukan sesuatu perkara, tanpa disuruh pun kita akan terus buat dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan menyambung pengajian, jika kursus yang dipilih sememangnya kena dengan bidang kerjaya yang diidamkan, ‘keperitan’ semasa belajar itu tidak terlalu dirasai.
Apabila seseorang pelajar benar-benar berminat dengan bidang yang dipilih, mereka lebih cenderung untuk memberikan komitmen penuh, menyesuaikan diri dengan perubahan, dan lebih berinovasi dalam pembelajaran mereka. Walau bagaimanapun, minat sahaja tidak mencukupi sekiranya bidang itu tidak mempunyai prospek pekerjaan yang baik.
Oleh itu, pelajar perlu memastikan minat mereka sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi bagi memastikan laluan kerjaya yang lebih stabil dan menjamin masa depan yang cerah. Memilih bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja atau pekerjaan yang sedang berkembang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan risiko pengangguran.
Faktor seterusnya yang tidak kurang pentingnya adalah keupayaan diri, atau dengan maksud lain ‘ukur baju di badan sendiri’. Pelajar perlu menilai sama ada pencapaian SPM, STPM atau yang setara mereka perolehi memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian yang ingin dipohon. Ini termasuk menyemak kelayakan akademik, merit yang diperlukan, serta kesesuaian keputusan peperiksaan utama dengan bidang yang dipilih.
Selain kelayakan akademik, pelajar juga perlu mempertimbangkan keupayaan kewangan untuk menanggung kos yuran dan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian. Memastikan keupayaan kewangan yang stabil dapat membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa tekanan kewangan.
Apabila sudah masuk ke universiti, siswa harus mengawal diri agar tidak terleka, lalai dan berasa terlalu selesa kerana terpikul di jemala mereka adalah harapan tinggi keluarga dan cita-cita yang besar yang perlu ditunaikan.
Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.















