KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan yang mengatakan seorang pempengaruh, CEO Batu telah melakukan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian (CSAM).
Menurut MCCA, pihaknya memandang serius sebarang isu berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak, apatah lagi apabila ia melibatkan individu berpengaruh di platform digital.
“Kami menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar menyiasat sepenuhnya dakwaan yang timbul di media sosial berkaitan CEO Batu,
“Sekiranya wujud bukti kukuh bahawa undang-undang berkaitan eksploitasi kanak-kanak telah dilanggar., tindakan tegas sepatutnya diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, pihak berkuasa turut diminta memperhebat pemantauan terhadap kandungan media sosial yang boleh membahayakan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.
MCCA juga menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih, bagi mengelakkan pencemaran nama baik individu dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Sebaliknya, sebarang maklumat atau bukti berkaitan kesalahan CSAM hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” tambanya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan pendedahan penyanyi rap, Caprice mengenai seorang pempengaruh didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang gadis berusia 14 tahun.
Beliau yang juga personaliti media sosial, turut memaparkan tangkap layar perbualan antara mangsa dan individu terbabit, selain mesej antara ibu mangsa dan CEO Batu di Instagramnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Caprice dedah pempengaruh lakukan gangguan seksual remaja 14 tahun
















