Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Ucapan Dasar dan Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Ucapan Dasar dan Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meskipun menerima teguran daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang.

Menurut Anwar, beliau tidak menafikan teguran yang dibangkitkan namun yakin SPRM di bawah kepimpinan Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.

“Ada orang bicara dan suara pembangkang sibuk tentang penyambungan kontrak Tan Sri Azam Baki, saya nak sebut saya tidak nafikan teguran yang dibangkitkan,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional PKR di Persada Johor malam ini.

Dalam pada itu, Anwar menekankan buat pertama kali dalam sejarah beliau melihat badan siasatan itu lebih berani bertindak terhadap individu yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit termasuk ‘tauke-tauke besar’.

“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar.

“Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan kawan (Kabinet), boleh ganti esok tapi saya tidak yakin yang baharu itu berani menyinggung tauke besar yang punyai bilion ringgit kekayaannya,” katanya lagi.

Beliau turut merujuk tindakan SPRM kini menyentuh tokoh-tokoh berprofil tinggi, termasuk mereka yang bergelar Tan Sri, Tun dan Datuk Seri dan ia memerlukan ruang serta sokongan agar tindakan tegas dapat diteruskan.

“Keluarga besar seperti Tan Sri, Tun dan Datuk Seri. Bagi saya, beri ruang sekejap orang yang diamanahkan mengambil tindakan dan saya tidak ada sebab untuk mencurigai keberanian Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam Baki) sekarang untuk bertindak keras dan tegas kerana saya belum melihat kepada orang sebelumnya,” ujarnya.

Perdana Menteri turut membidas pihak yang sering mengkritik beliau termasuk pembangkang dan aktivis sosial kerana tidak menyokong tindakan berani SPRM ke atas golongan elit korporat.

“Tapi orang yang menegur saya lihat ada pembangkang, ada masyarakat sosial yang riuh mengkritik. Saya tidak pernah dengar dia sokong bila SPRM bertindak kepada tauke-tauke yang punya berbilion ringgit itu,” katanya lagi.

Anwar turut melahirkan rasa kecewa kerana tindakan SPRM sering disalah tafsir sebagai bermotifkan dendam sedangkan tidak ada sokongan terbuka daripada pengkritik ketika agensi itu melakukan tindakan berani.

“Tidak pun sebut malah secara senyap mereka menyokong. Saya tidak dapat terima kenyataan ini. Tidak ada sokongan malah bila kita ambil tindakan, dikata tindakan dendam,” tegas beliau.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Azam diberi mandat untuk terus meneraju SPRM untuk tempoh setahun.

Shamsul Azri berkata, pelantikan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan itu katanya berkuatkuasa mulai 13 Mei sehingga 12 Mei 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast