LANGKAWI – Sebuah trak tiga tan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabas sebelum melanggar lima buah kenderaan awam dalam kejadian di simpang tiga Resorts World di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika trak yang membawa 27 penumpang termasuk pemandu itu dipercayai mengalami masalah teknikal semasa membelok ke kiri ke arah Resorts World dari Jalan Teluk Baru.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar lima buah kenderaan.

“Akibat pelanggaran itu, trak berkenaan kemudian terjunam ke bawah tebing jalan. Susulan kejadian seramai 16 anggota lelaki TLDM telah dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut setakat jam 4.50 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Shariman, seorang wanita yang menaiki salah sebuah kenderaan awam juga mengalami kecederaan ringan dan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
“Mangsa dilaporkan berada dalam kategori zon hijau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu tular 27 anggota tentera berdepan detik cemas selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan bagi tugasan LIMA’25.
Mereka yang terlibat kemalangan diberikan rawatan awal oleh ATM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette
















