KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap peniaga yang meletak halangan dan peralatan di laluan awam.
DBKL menerusi kenyataan berkata, operasi berkenaan dilaksana sekitar kawasan Parlimen Titiwangsa sekitar Jalan Perkasa, Jalan Kampung Pandan dan Jalan Keramat.
Ujarnya, tindakan sitaan juga dilakukan ketika operasi.
DBKL berkata, operasi tersebut bagi memastikan sekitar ibu kota kelihatan tersusun, bersih dan teratur sempena Persidangan ASEAN 2025.
“Kuala Lumpur perlu tampil tersusun, bersih dan teratur. Persekitaran yang kondusif bukan sekadar untuk pengunjung luar, tetapi demi warganya sendiri,” katanya.
DBKL turut memberi jaminan akan meneruskan penguatkuasaan yang berkaitannya dari semasa ke semasa.
Selain itu, DBKL Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga melaksanakan operasi bersepadu terhadap premis yang menukar status perniagaan kepada aktiviti memproses makanan tanpa kelulusan pembangunan di sekitar Parlimen Lembah Pantai.
Operasi berkenaan dibuat pada Khamis lalu, berdasarkan aduan awam dan risikan selama beberapa hari.
“Hasil siasatan, sebuah premis yang menjalankan aktiviti pemprosesan makanan secara tidak sah telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982,” jelasnya.
Katanya, barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tujuan dokumentasi dan rekod rasmi.-MalaysiaGazette
















