KUANTAN – Seorang lelaki warga emas antara dua individu ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti melombong emas secara haram di Kampung Baru Bukit Koman, Raub dekat sini malam semalam.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam yang diterima mengenai kegiatan perlombongan haram di kawasan terbabit.
Menurutnya, operasi dijalankan pada pukul 9.30 malam oleh pasukan UPNP Zon Pahang Barat di Lot 17477, Kampung Baru Bukit Koman, Mukim Gali, Daerah Raub.
“Semasa serbuan, dua individu berusia 37 tahun dan 63 tahun didapati sedang menjalankan kerja-kerja perlombongan di kawasan tersebut.
“Pegawai serbuan telah memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa serta meminta dokumen kebenaran menjalankan aktiviti perlombongan, namun kedua-dua mereka gagal mengemukakannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifullah berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam aktiviti perlombongan tersebut.
Antaranya sebuah pam air, dua buah palong bergerak, dulang, cangkul, penyodok dan kuali yang dipercayai digunakan untuk mengutip dan memproses bahan galian.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 iaitu kesalahan melombong tanpa lesen atau pajakan.
“UPNP akan terus mempergiat operasi dan pemantauan bagi membanteras aktiviti perlombongan haram yang boleh mengakibatkan kerosakan alam sekitar serta menjejaskan keselamatan awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















