Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2025.

KUALA LUMPUR -Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang diumumkan menang jawatan Naib Presiden parti ini bagi penggal 2025-2028 menyifatkan kemenangan itu bukan kejayaan peribadi.

Sebaliknya, ia satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi demi masa depan parti dan negara.

“Saya amat menghargai segala bentuk sokongan dan mandat yang telah diberikan. Ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar untuk saya pikul demi keadilan dan rakyat,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada para perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya.

Ramanan berkata, fokus utama selepas ini adalah memperkukuh parti, memperkasakan idealisme perjuangan, dan memastikan PKR kekal sebagai wadah utama rakyat yang menjunjung prinsip Malaysia Madani

Beliau turut menyeru semua ahli dan pemimpin parti agar terus merapatkan saf dan bergerak seiring di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa obor reformasi ke seluruh pelosok negara.

“Saya bertekad membawa suara rakyat ke pentas nasional dengan semangat reformasi yang tidak pernah luntur. Keadilan (PKR) bukan sekadar parti sebaliknya ia adalah rumah perjuangan kita bersama. Parti kita, rumah kita,” ujarnya.

Beliau menegaskan ini perjuangan bersama dan setiap langkah ke hadapan harus diiringi dengan keyakinan serta semangat utuh untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, progresif dan inklusif.

Dalam pertandingan jawatan itu, Ramanan menang 5,895 undi daripada 11 penjuru dengan Datuk Seri Amirudin Shari mendapat undian tertinggi jawatan Naib Presiden sebanyak 7,955.

Selain Amirudin dan Ramanan, turut menang ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun pula meraih 5,889 undi manakala Menteri Sains dan Inovasi, Chang Lih Kang sebanyak 5,757. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast