Siew Khim melawat mangsa dera di Hospital Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penderaan,“ tegas Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Lim Siew Khim mengulas kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang mengadu sering dipukul dan pernah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya kepada guru kaunseling.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang mengambil langkah proaktif mengesan waris terdekat untuk penjagaan sementara di bawah kategori Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS), demi keselamatan emosi dan fizikal mangsa.

“Kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan berada dalam keadaan stabil, sementara adik-beradiknya yang berusia 15 tahun yang bersekolah di Balik Pulau, turut dinilai tahap keselamatannya oleh pihak JKM.

“Kita juga akan membuat penilaian dari semasa ke semasa dan akan merujuk kepada mahkamah bagi sebarang keputusan lanjut selepas mangsa keluar daripada hospital,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut menghargai tindakan pantas pihak sekolah, JKM, polis dalam menangani kes tersebut.

“Tiada ruang untuk penderaan atau pengabaian. Kami akan terus memantau kes ini dengan teliti dan pastikan mangsa mendapat perlindungan, rawatan dan pemulihan yang menyeluruh,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tempoh reman bapa mangsa dera dilanjutkan lima hari

Media semalam melaporkan mengenai kanak-kanak malang itu yang cedera dipercayai didera kedua ibu bapanya selain pernah dikurung dalam sangkar anjing.

Kejadian terhadap murid Tahun Enam itu disedari guru kaunseling di sekolah selepas mengesan lebam dan luka di belakang badan mangsa, Isnin lalu.

Rotan yang disyaki digunakan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengurus dan jurutera di dua buah kilang di sini, turut dirampas untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast