BALIK PULAU – Tempoh reman terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga merupakan bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang disyaki menjadi mangsa dera, dilanjutkan selama lima hari lagi sehingga 29 Mei ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek sebelum ini direman selama empat hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Mahkamah membenarkan permohonan lanjutan reman selama lima hari bermula esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
ARTIKEL BERKAITAN
Mangsa dera kini stabil, ibu bapa masih dalam tahanan direman
Media kelmarin melaporkan mengenai kanak-kanak malang itu yang cedera dipercayai didera kedua ibu bapanya selain pernah dikurung dalam sangkar anjing.
Kejadian terhadap murid tahun enam itu disedari guru kaunseling di sekolah selepas mengesan lebam dan luka di belakang badan mangsa, Isnin lalu.
Rotan yang disyaki digunakan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengurus dan jurutera di dua buah kilang di sini, turut dirampas untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















