JOHOR BHARU – Pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diseru supaya kembali bersatu dan menumpukan perhatian kepada agenda rakyat selepas selesai proses pemilihan parti yang menyaksikan pertandingan sengit di pelbagai peringkat.
“Dalam mana-mana pertandingan, adatnya ada yang menang, ada yang kalah. Itu lumrah demokrasi.
“Tetapi yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan selepas itu. Ini masa untuk pemulihan.
“Kita harus kembali kepada asas perjuangan memperkukuh parti, memperjuangkan nasib rakyat dan menyokong kepimpinan Presiden kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Datuk Seri R Ramanan, Naib Presiden PKR yang baharu ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2025 di sini hari ini.
Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang mengundi dan terlibat secara langsung dalam pemilihan termasuk yang tidak memilihnya sebagai tanda hormat terhadap semangat demokrasi dalam parti.
“Perbezaan dalam pemilihan tidak seharusnya menjadi titik perpecahan. Yang sudah berlalu, biarlah berlalu. Kini kita perlu melangkah ke hadapan bersama,” ujarnya.
Sebagai wakil masyarakat India dalam kerajaan dan parti, beliau menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara komuniti ke peringkat tertinggi, termasuk isu-isu berkenaan ekonomi, pendidikan, dan pembangunan sosial.
Namun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap penularan fitnah semakin berleluasa, khususnya di media sosial yang menurutnya boleh menggugat perpaduan parti dan kredibiliti kerajaan.
“Fitnah kini menjadi senjata utama musuh kita. Malangnya, ramai dalam kalangan rakyat tidak menyemak fakta dan mudah terpengaruh.
“Kita perlu ajar budaya semak sebelum percaya. Dan lebih penting, kita sebagai pemimpin harus pertingkatkan komunikasi, terutamanya di media sosial,” jelasnya.
Beliau menggesa agar jentera penerangan dan media sosial PKR diperkukuhkan, memandangkan kekuatan utama pihak lawan kini adalah keupayaan mereka menguasai naratif di platform digital.
Beliau memberi contoh kejayaan kerajaan menyuntik dana besar bernilai ratusan juta untuk komuniti India melalui pelbagai inisiatif tetapi ramai tidak tahu mengenainya kerana maklumat tidak sampai ke akar umbi.
“Kita tak boleh lagi bersikap defensif. Kita mesti proaktif. Semua kejayaan dan dasar baik kerajaan mesti sampai kepada rakyat. Kalau tidak, musuh akan isi ruang itu dengan fitnah dan manipulasi,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















