SEBERANG PERAI – Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang bernilai RM250 juta dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Seberang Perai Tengah (SPT) apabila siap sepenuhnya pada November 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, loji baharu ini mampu menghasilkan sehingga 114 juta liter sehari (JLH) air terawat dan terletak hanya 550 meter dari Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD).
Jelas beliau, projek ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan bekalan air bersih yang mencukupi kepada penduduk kawasan SPT serta mengurangkan kebergantungan terhadap Loji Rawatan Air Sungai Dua.
“Dengan beroperasinya LRA Taman Mengkuang kelak, EMD yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai rizab kemarau strategik akan ditukar status kepada “empangan dwi-guna.
“Ini bermakna, air mentah dari EMD akan dilepaskan setiap hari bagi kegunaan loji tersebut, dan juga kekal sebagai sumber air sandaran ketika kecemasan untuk LRA Sungai Dua.
“Ia juga tidak bergantung kepada hujan semata-mata kerana diisi semula dengan air dari Sungai Kulim ketika musim hujan, menjadikannya lebih stabil dan berdaya maju sebagai sumber air mentah harian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, majlis pecah tanah loji tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini.
Tambah Pathamanathan, kerja-kerja tapak untuk LRA Taman Mengkuang telah bermula sejak 19 Mei lalu dan PBAPP akan menyelia serta memantau rapi perkembangan pembinaan agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang seperti yang dirancang.
Katanya, projek ini juga akan memberi kesan positif kepada pengguna air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Apabila SPT tidak lagi terlalu bergantung kepada LRA Sungai Dua, lebih banyak air terawat dari loji tersebut dapat dialirkan ke SPU dan SPS sekali gus meningkatkan keberkesanan pengagihan air di seluruh kawasan Seberang Perai.
“Komponen utama projek ini termasuk pembinaan modul rawatan air berkapasiti 114 JLH, rumah pam pencucian balik, bangunan dos bahan kimia, tangki air terawat, serta sistem SCADA bagi pemantauan dan kawalan automatik.
“Selain itu, pemasangan paip berdiameter 1,200mm untuk air mentah dan 900mm untuk air terawat turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kerja-kerja mekanikal, elektrikal, serta struktur awam,” katanya.
Projek ini merupakan sebahagian daripada Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) yang dirangka oleh PBAPP serta projek ketiga selepas pengoperasian modul DAF di Bukit Panchor dan Pakej 12A di Sungai Dua.
Sebanyak lima lagi projek di bawah WCP 2030 perlu disiapkan sebelum tahun 2030 bagi menjamin kelangsungan bekalan air negeri ini. – MalaysiaGazette















