KUANTAN – Pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A layak menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Kuala Lumpur (UNIKL)dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan pelajar berprestasi tinggi tidak terbeban dengan isu kewangan untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
“Insya-Allah, jika pelajar itu memperoleh 10A, saya boleh jamin permohonan mereka akan diterima secara automatik untuk masuk ke UNIKL dan UPTM.
“Saya telah arahkan perkara ini kepada Ketua Pengarah dan ia juga telah dipersetujui oleh Pengerusi MARA. Mana-mana pelajar yang dapat 10A akan diberikan biasiswa penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar yang memperoleh keputusan sederhana tidak akan diketepikan, sebaliknya turut diberikan peluang melanjutkan pelajaran melalui laluan alternatif.
“Bagaimana pula dengan yang hanya mendapat tiga kredit? Adakah mereka tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran? Jangan risau, kita ada TVET. Kita akan salurkan lepasan SPM ini ke 1,399 institusi TVET di seluruh negara,” jelas beliau.
Menurutnya, sebanyak 126,000 permohonan telah diterima ke institusi TVET sejak 15 April lalu bagi pengambilan sesi Julai ini.
Selain itu, beliau berkata, MARA melalui YPM akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan inklusif dapat dinikmati oleh semua golongan, termasuk pelajar yang tidak mencapai kecemerlangan akademik.
“YPM akan terus mencari ruang dan peluang untuk menempatkan pelajar berkelayakan rendah ke kolej dan institusi di bawah MARA. Insya-Allah, MARA akan terus menjadi pembela kepada nasib generasi muda negara,”katanya. – MalaysiaGazette
















