GEORGE TOWN – Kerajaan digesa mengharamkan ciri “PK Battle” dalam aplikasi TikTok yang berleluasa kini susulan dilihat memberi kesan negatif terhadap akhlak dan gaya hidup generasi muda di negara ini.
Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis berkata, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok bagi menyekat fungsi tersebut daripada terus digunakan oleh pengguna tempatan.
Menurut beliau, trend PK Battle yang merupakan siaran langsung pertandingan antara dua pengguna TikTok yang bertanding mengumpul hadiah digital daripada penonton dilihat semakin melampau sehingga mencetuskan perlakuan yang menjijikkan dan menjatuhkan maruah.
“PK Battle ini nampak macam suka-suka tapi bila kalah, ada pula hukuman yang dikenakan seperti buat siaran langsung ketika mandi walaupun berpakaian, menyapu tepung di muka, lumur tahi lembu dan berjalan dalam keadaan separuh bogel.
“Ini semua perkara yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dipertontonkan secara langsung kepada umum.
“Kita juga bimbang ada unsur ‘cuci duit’ dalam PK Battle ini kerana ada hadiah yang diberikan bernilai RM3,000 hingga RM10,000 dan agak mustahil seseorang itu boleh berbelanja sedemikian kepada orang tidak dikenali,” katanya hari ini.
Tambah beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada masyarakat termasuk ibu bapa yang bimbang dengan pengaruh buruk trend tersebut terhadap anak-anak muda, terutamanya mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.
“Ada yang sanggup berjaga sehingga lewat pagi hanya untuk menonton PK Battle dan lebih membimbangkan, penonton pula seperti sengaja memberi hadiah digital supaya dapat melihat ‘hukuman’ dilaksanakan.
“Ini bukan saja merosakkan akhlak, malah memupuk budaya hedonisme dalam kalangan remaja.
“Ada juga yang menggunakan akaun palsu dengan memuat naik komen jelak pada battle berkenaan secara tak langsung wujud elemen buli,” jelasnya.
Mengulas lanjut Francis berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada seorang ibu mendakwa anaknya sanggup mencuri wang di rumah semata-mata untuk membeli hadiah dan menyertai aktiviti PK Battle di TikTok.
“PK Battle ini bukan hiburan tetapi satu bentuk penyimpangan sosial yang semakin menjadi-jadi dan kalau tidak dibendung dari sekarang, generasi kita akan hanyut dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat.
“Justeru kita gesa kerajaan tidak memandang ringan terhadap ancaman sosial yang dibawa oleh ciri-ciri media sosial yang bersifat keterlaluan dan tidak terkawal.
“Kami percaya, langkah penyekatan atau pengharaman PK Battle ini bukanlah satu bentuk penindasan terhadap kebebasan di media sosial tetapi satu usaha untuk menyelamatkan nilai moral dan jati diri anak bangsa,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa ibu bapa agar memantau penggunaan media sosial anak-anak dan mendidik mereka mengenai penggunaan teknologi secara beretika dan berhemah. – MalaysiaGazette
















