Anwar bersama Perdana Menteri Lao PDR, Sonexay Siphandone, semasa majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. 25 Mei 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR –Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Sonexay Siphandone hari ini diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi sempena lawatan rasminya ke Malaysia yang bermula semalam.

Pengendali Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, lawatan itu merupakan yang pertama dilakukan oleh Siphandone ke negara ini sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022.

Ketibaan beliau di Kompleks Perdana Putra disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum diberi penghormatan rasmi termasuk pemeriksaan perbarisan kehormat oleh pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

Kedua-dua pemimpin kemudian menghadiri mesyuarat dua hala secara terhad yang membincangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan bersama, khususnya dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Laos.

Antara perkara yang menjadi tumpuan perbincangan termasuklah kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan, pelancongan, pembinaan kapasiti, pertanian serta industri halal.

Dalam mesyuarat itu, Anwar dan Siphandone turut bertukar pandangan mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun hadapan.

Perbincangan juga menyentuh situasi terkini di Myanmar serta status keanggotaan dan penyertaan Timor Leste dalam ASEAN.

Lawatan rasmi Perdana Menteri Laos ini dijangka dapat memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast