Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan depan Institut Teknologi Unggas, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta depan Institut Teknologi Unggas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, mangsa, Mohd Yusof Sapikhan, 59, berasal dari Kampung Ramuan China Kecil, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Ramuan China ke Masjid Tanah.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa jenis SYM VF3i 185 LE dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, motosikal merempuh bahagian hadapan kanan kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Masjid Tanah menuju ke Ramuan China,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ashari berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Kedua-dua kenderaan telah ditahan untuk siasatan lanjut termasuk pemeriksaan Puspakom dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast