KUALA LUMPUR – Pelan Strategik Komuniti Politik – Keselamatan ASEAN (APSC) 2045 akan menjadi kompas penting untuk kerjasama politik dan keselamatan ASEAN bagi dua dekad akan datang berteraskan nilai-nilai keamanan, ketahanan dan pertumbuhan bertunjangkan rakyat.
Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekretariat di bawah APSC perlu memanfaatkan bidang kerjasama dan inisiatif yang digariskan menerusi pelan strategik tersebut bagi memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN dalam menangani cabaran keselamatan dan rentas negara yang semakin berkembang.
Dalam konteks itu, tambah beliau, ASEAN mesti mengenal pasti rakan kongsi yang boleh menyokong usaha ke arah tersebut dan dalam masa sama memastikan institusi ASEAN kekal relevan, berpandangan jauh dan inklusif.
“Ini penting jika kita ingin mencapai matlamat bersama untuk menjamin rantau yang selamat, terjamin dan aman untuk semua warga ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah mengenal pasti keutamaan untuk terus mengukuhkan kerjasama ASEAN dalam bidang seperti dialog dan kepercayaan strategik, jenayah rentas negara, pertahanan dan kerjasama perundangan.
“Malaysia komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara-negara Anggota ASEAN bagi memastikan komuniti kita kekal padu, responsif dan bersedia untuk masa depan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 di sini hari ini.
Menurut Mohamad, ASEAN kini semakin hampir ke penghujung Pelan Tindakan APSC 2025, sekali gus meletakkan rantau itu dalam satu persimpangan penting.
Jelasnya, ASEAN sedang berdepan dengan landskap serantau dan global yang semakin kompleks yang dibentuk oleh persaingan geopolitik yang meningkat, ketidakpastian ekonomi dan cabaran rentas negara yang mendedahkan kelemahan kepada sistem dunia semasa.
Malah, tambah beliau, ASEAN sendiri sedang berdepan ancaman keselamatan yang semakin meningkat termasuk peningkatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian dan penipuan pekerjaan.
“Ramai warga ASEAN menjadi mangsa skim penipuan ini dan telah diperdagangkan untuk menjadi buruh paksa di pusat-pusat penipuan.
“Mereka kehilangan kebebasan, maruah dan wang simpanan, selain operasi dalam talian haram ini turut memberi kesan negatif kepada ekonomi negara-negara anggota ASEAN,” katanya.
Ujar beliau, meskipun ASEAN kebelakangan ini meningkatkan usaha membendung ancaman jenayah siber, namun sindiket itu terus menunjukkan keupayaan untuk berpindah atau membina semula operasi mereka.
Sehubungan itu, tegasnya, usaha menangani isu-isu tersebut secara menyeluruh adalah penting demi kesejahteraan penduduk ASEAN serta keselamatan dan kemakmuran serantau.
“Oleh itu, adalah penting untuk ASEAN meningkatkan kerjasama serantau, penyelarasan undang-undang dan mekanisme perkongsian maklumat dalam kalangan negara-negara Anggota.
“Tambahan pula, teknologi yang berkembang pesat dan ruang siber yang semakin meluas menuntut kita bukan sahaja melindungi keselamatan ekosistem digital dan rangkaian serantau, tetapi juga membina daya tahannya.
“Landskap yang sedang berubah ini juga menuntut agar ASEAN menyesuaikan diri secara sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















