Pereka fesyen dan penganjur pertandingan ratu cantik, Miss & Mrs Majestic International 2025, Huda Hassan (dua kanan).

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal mencipta sejarah dunia apabila pertandingan ratu cantik antarabangsa Miss & Mrs Majestic International 2025 bakal berlangsung di puncak Genting Highlands, Pahang, Ogos ini.

Pengasas dan penganjurnya, Huda Hassan berkata, acara yang menghimpunkan lebih 30 negara bukan sahaja menampilkan keanggunan wanita, bahkan turut mengangkat martabat batik tempatan ke pentas dunia.

“Pertandingan ratu cantik itu bertujuan memperkasa industri batik tempatan melalui promosi global dan penyertaan peserta antarabangsa.

“Meraikan kepelbagaian budaya antarabangsa menerusi platform kecantikan, gaya dan keanggunan.

“Acara ini menjadi pemangkin kepada pelancongan budaya seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Huda, menariknya pertandingan ratu cantik itu bakal menampilkan kelainan di mana 66 peserta akan memperagakan baju batik dan melakukan “catwalk” dari ketinggian 6,106 kaki dari paras laut.

“Pertandingan ini bakal mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records dalam kategori ‘Catwalk Tertinggi Dalam Busana Tradisional’ bertempat di Hoverland Genting Highlands.

“Lokasi ikonik ini telah pun memegang dua rekod kebangsaan bagi kategori ‘Highest Altitude Observation Deck’ dan ‘Highest Altitude Building-Edge Skywalk’ oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 29 April lalu.

Selain itu, kata Huda, Hoverland Genting Highlands merupakan tarikan pelancongan baharu yang unik dan eksklusif di Malaysia..

“Di sini, pemandangan Banjaran Titiwangsa menjadi tumpuan ramai yang suka nikmat pemandangan semulajadi.

“Catwalk batik yang diadakan di Hoverland turut mempamerkan keberanian dan keyakinan wanita, selaras dengan nilai para peserta pertandingan ratu cantik.

“la juga menekankan kekuatan dalaman dan ekspresi diri dalam seorang wanita,” katanya.

Katanya, pertandingan ini akan berlangsung di Wyndham lon Majestic Hotel Genting Highlands pada 7 Ogos hingga 10 Ogos depan.

“Hotel ini juga bertindak sebagai rakan strategik utama, menyokong usaha menjadikan batik sebagai ikon budaya Malaysia.

“Turut serta dalam kolaborasi strategik ialah Hoverland dan Hard Rock Genting Malaysia, lokasi eksklusif tertinggi di rantau Asia Pasifik, bagi pertunjukan batik dan sesi media tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, setiap peserta akan menerima sepasang busana batik eksklusif, menjadikan mereka Duta Batik Malaysia di negara masing-masing.

“Pertandingan ini dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan, fesyen dan ekonomi kreatif negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast