Peserta aktiviti plogging berjaya mengumpulkan seberat 1,312 kilogram (kg) sampah selain melakukan penanaman pokok di persisiran Pantai Cherok Paloh, hari ini

KUANTAN – Seramai 200 peserta terdiri daripada pelbagai agensi yang menyertai aktiviti plogging mengumpul 1,312 kilogram (kg) sampah Pantai Cherok Paloh, di sini, hari ini.

Selain itu merela turut menanam pokok di persisiran pantai itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, penyertaan kali ini membabitkan sukarelawan muda, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta wakil jawatankuasa kampung dan kakitangan Alam Flora.

Menurutnya, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), terus komited dalam memupuk budaya cintakan alam sekitar.

”Berbeza daripada penganjuran sebelumnya, kali ini pendekatan Alam Flora lebih tertumpu kepada menggalakkan pelibatan golongan muda dan pelancong yang mengunjungi pantai
tersebut untuk turut serta dalam menjaga kebersihan kawasan rekreasi yang sering menjadi tumpuan pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

”Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif ‘Jom Plogging – Saya Sayang Bumi’, yang bukan sahaja menekankan aspek kebersihan pantai tetapi juga memberi pendedahan kepada peserta tentang kesan pembuangan sampah sembarangan terhadap habitat marin dan keseimbangan ekosistem semula jadi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, aktiviti seperti plogging ini bukan sahaja membersihkan kawasan pantai, malah berperanan penting dalam membentuk kesedaran sivik dan tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar.

Tambah beliau, aktiviti seperti ini perlu dijadikan budaya bersama, bukan sekadar kempen sementara.

”Kita mahu setiap individu, khususnya anak muda dan pelancong, menyedari bahawa setiap tindakan kecil seperti membuang sampah dengan betul mampu memberi impak besar kepada kelestarian alamm” katanya.

Tambah beliau, sebagai nilai tambah kepada inisiatif kelestarian, sebanyak 150 batang pokok ditanam di sekitar kawasan pantai sebagai usaha penghijauan semula dan pemulihan kawasan pesisir pantai.

Sementara itu, katanya kehadiran pelancong yang turut serta secara sukarela dalam aktiviti ini menunjukkan sokongan masyarakat luar terhadap usaha menjaga kebersihan pantai yang menjadi mercu tarikan di daerah Kuantan.

Inisiatif ini adalah merupakan sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff, aspirasi Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff untuk memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian yang didedikasikan untuk berkhidmat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast