Peserta yang hadir pada majlis meraikan ulang tahun ke-19 PPHBM dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-19 serta Majlis Jamuan Ramah Mesra yang menghimpunkan ahli dari seluruh negara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Hemodialisis Bumiputera Malaysia (PPHBM) meletakkan sasaran memperkasakan ahli dalam berkhidmat kepada pesakit hemodialisis dari semasa ke semasa.

Presiden merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti khidmat nasihat, keperluan peralatan perubatan, serta penganjuran program Continuous Medical Education (CME).

Menurutnya, PPHBM turut membantu ahli dalam isu semasa yang disarankan kerajaan termasuk memberi penerangan, memahami dan melaksanakan sistem pengebilan (invoicing)

“Perkhidmatan ini adalah selaras dengan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk memberi sokongan dari segi pematuhan perundangan dan peraturan kesihatan.

“Disamping peranan anak syarikat milik penuh persatuan, PPHBM Corporation Sdn Bhd yang berjaya menjana pendapatan tahunan melalui pembekalan bahan perubatan kepada ahli PPHBM.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan persatuan, malah meringankan beban kos operasi pusat-pusat hemodialisis.” katanya dalam kenyataan selepas majlis meraikan ulang tahun ke-19 PPHBM dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-19 serta Majlis Jamuan Ramah Mesra yang menghimpunkan ahli dari seluruh negara, baru-baru ini.

Ahmad Yunus berkata, majlis berkenaan adalah satu simbol pengiktirafan terhadap komitmen ahli yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam memberikan rawatan kepada pesakit buah pinggang di seluruh negara.

“Kami kini mempunyai hampir 100 ahli yang mewakili lebih 150 pusat hemodialisis di seluruh negara, dibahagikan kepada Zon Utara, Timur, Tengah dan Selatan.

“Ini membuktikan kekuatan jaringan kami dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam usaha memperkukuh struktur kewangan dan keusahawanan ahli, PPHBM juga sedang meneliti beberapa langkah yang memberi manfaat kepada ahli termasuk menubuhkan koperasi bagi membuka peluang pelaburan dan pulangan ekonomi yang sah dan berstruktur kepada ahli.

Penubuhan ini masih pada peringkat perbincangan dan akan diteliti sepenuhnya oleh kepimpinan AJK PPHBM.

Dr Ahmad Yunus Hairi

Sementara itu, mengulas isu kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat seperti kencing manis, darah tinggi, batu karang dan kolesterol, Ahmad Yunus menyeru agar lebih banyak pusat hemodialisis melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai pencegahan awal dan penjagaan kesihatan.

Dalam kenyataan sama, Timbalan Presiden PPHBM, Mohd Nazaruddin Jamaluddin berkata, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak menyedari kewujudan pelbagai saluran bantuan kewangan yang boleh dimanfaatkan sekiranya ahli keluarga menghidap penyakit buah pinggang.

“Pendedahan dan kesedaran terhadap perkara ini amat penting agar pesakit dan keluarga tahu pihak mana yang boleh membantu serta bagaimana untuk mengakses bantuan tersebut,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, rawatan hemodialisis menuntut komitmen kewangan yang tinggi, terutamanya bagi pesakit yang tidak layak menerima subsidi kerajaan.

Kos satu sesi rawatan boleh mencecah RM200 hingga RM250, dan dengan keperluan tiga sesi seminggu, kos bulanan boleh mencecah lebih RM3,000, belum termasuk kos ubat-ubatan, pemantauan pakar, dan pengangkutan ke pusat rawatan, ujar beliau.

Tambahnya, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, perbelanjaan negara dalam menangani penyakit NCD kini melebihi RM10 bilion setahun, menandakan keperluan kepada sokongan kewangan dan sosial yang lebih tersusun dan inklusif untuk pesakit buah pinggang.

PPHBM menyeru semua pihak seperti kerajaan, NGO, sektor korporat dan masyarakat umum untuk bersama-sama memperhebat usaha advokasi, menyebarkan maklumat bantuan dan memperkasa jaringan sokongan kepada pesakit buah pinggang di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast