KUALA LUMPUR – Suspek yang ditahan sepasukan polis di Taman Kajang Mewah, Kajang hingga rakamannya tular di laman sosial semalam memiliki 23 rekod pebagai jenis kesalahan jenayah dan dadah.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof yang mengesahkan penahanan suspek oleh anggota dari cawangan MPV selepas lelaki itu melanggar dua buah kenderaan dalam kejadian kejar mengejar.
Katanya, kejadian berlaku pada pukul 2.10 pagi dan suspek ketika itu membawa dua wanita warga tempatan berumur 28 dan 30 tahun yang kesemuanya adalah penganggur.
“Ketika pemeriksaan dilakukan polis menemui dadah jenis syabu seberat satu gram pada suspek. Kesemua suspek direman selama hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Naazron, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih (5) tahun atau kedua-duanya.
Katanya lagi, bagi kesalahan lain, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Sehubungan itu, beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp. Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















